Thursday, April 23, 2009

Ayah

Saya terpaksa berfikir panjang buat permulaan untuk menulis tentang Ayah saya yang bernama Osman Bin Awang. Beliau berasal dari Sungai Ular, Kulim. Apa yang saya masih ingat tentang Ayah saya adalah, beliau begitu kisah dan ambil berat tentang hubungan saudara mara walaupun saudara yang jauh tali persaudaraan seperti dua atau tiga pupu. Katanya walaupun sudah dua atau tiga pupu, tapi semuanya berasal dari satu moyang juga.
Semasa saya masih kecil, apabila hujung minggu atau cuti persekolahan, saya sentiasa mengikuti beliau pergi menziarah Ibunya iaitu nenek saya di sebelah Kulim. Biasanya kami sekeluarga pergi sekali tetapi dalam beberapa kes cuma saya saja yang mengikutinya. Saudara sepupunya ramai yang menetap di daerah Sedim. Cuma Datuk saya sahaja yang tinggal di Sungai Ular, Kulim. Rumah Datuk saya adalah rumah kayu yang sangat besar dan tersergam indah dikelilingi oleh berbagai-bagai pohon bunga dan pokok buah-buahan seperti Gajus, manggis, durian dan lain-lain lagi. Di belakang rumah datuk saya ada ladang getah dan di penghujung ladang getah ada Sungai yang sangat jernih iaitu Sungai Ular. Masih teringat lagi di situlah saya dan Nazri selalu mandi setiap pagi apabila kami pulang bercuti disitu.
Pada masa itu, Datuk saya sudah lama meninggal, dan yang masih tinggal di rumah itu cuma Nenek saya, `Tok Teh` gelarannya, dan juga Mak Cik saya yang mana akhirnya saya mendapat tahu Mak Cik saya merupakan adik angkat ayah saya. Ayah saya tidak pernah memberitahu kami bahawa Adiknya itu adalah adik angkat. Saya mendapat tahu dari Mak Long saya iaitu Kakak Ayah saya yang berlainan Emak ataupun berlainan bapa yang mana Mak Long saya tinggal di sebelah rumah nenek saya. Mungkin Ayah saya mahu kami menghormati adik perempuannya ataupun untuk mengeratkan tali persaudaraan dengan Mak Cik saya.
Apabila nenek saya sudah meninggal, ayah saya mula membawa kami ke daerah Sedim untuk menemukan kami dengan saudara sepupunya yang kesemuanya tinggal di daerah itu. Pernah satu ketika yang mana masih terjelas diingatan saya, ayah saya berpesan, `nanti bila hang besar, hang buat macam-mana ayah buat, selalu datang sini untuk bertemu saudara-mara`. Katanya lagi, `Adik beradik walaupun sekandung, kalau lama tak jumpa akan jadi jauh dan adik beradik walaupun dua tiga pupu kalau selalu ziarah menziarahi akan jadi macam saudara kandung juga`. Itu yang saya masih ingat.
Selalunya apabila Ayah saya sampai di Sedim, saudara maranya akan gembira menerimanya dan mereka akan berbesar hati. Apa saja cakapnya mereka akan akur. Pernah sekali, ada dikalangan saudaranya yang bergaduh dan tak bertegur sapa sekian lama dan apabila ayah saya tahu perkara ini disuruhnya panggil kesemuanya dan ayah saya bercakap panjang dan akhir sekali mereka semua berpelukan dan menangis sayu.
Begitu sekali mereka semua menghormati Ayah saya.
Selalunya Ayah saya akan bermalam di rumah sepupunya yang sulung yang saya panggil Pak Lang. Dari hari pertama saya dan ayah saya sampai, mereka semua akan berkumpul di rumah Pak Lang dan makan bersama-sama sehingga hari terakhir kami disana. Sungguh seronok sekali dan saya rasa gembira melihat saudara mara saya yang sangat ramai dan mereka semua menghormati ayah saya dan memberi layanan yang istimewa untuk kami.
Apabila ayah saya sudah meninggal, hubungan saya dan saudara di Sedim terputus panjang disebabkan saya tidak menetap di Pulau Pinang. Semasa saya pulang bercuti dari luar negeri, isteri saya bertanya tentang saudara mara saya, ketika itu saya sayu dan teringat akan Kulim dan Sedim. Ketika itu anak saya yang bernama Arif berusia lebih kurang dua tahun. Saya terus membawa isteri dan anak ke Sedim. Barulah Isteri saya terkejut dan melihat sendiri saudara mara saya di situ. Saya bawa anak isteri saya pergi mandi sungai di hadapan rumah Pak Cik saya. Semasa saya berada di rumah Pak Cik saya, saya bertanya tentang aruah ayah saya. Banyak yang Pak Cik saya ceritakan yang mana saya begitu terharu sekali dan barulah saya tahu kenapa ayah saya tidak pernah menceritakan kepada kami semua. Pak Cik saya memberitahu asal usul keluarga ini adalah dari keturunan melayu patani yang berhijrah ke daerah Kulim. Wan Arshard adalah nama Datuk kepada Ayah saya. Beliau berhijrah kesitu sesudah Kerajaan Patani jatuh ke tangan Siam. Wan Arshard mempunyai 6 orang anak. Seorang lelaki iaitu datuk saya dan lima perempuan yang mana kesemua mereka berpindah ke Sedim dan beranak-pinak disitu. Memandangkan Ayah saya dari anak lelaki Wan Arshard dan oleh sebab itulah saudara mara yang lain menghormatinya mengikut adat mereka. Setelah Wan Arshard menetap di Kulim, beliau membuang gelaran Wan kerana Siam masih memburu saki baki keturunan Patani atau pun mungkin kerana mahu jadi seperti orang biasa. Pak Cik saya memberitahu Wan Arshard dan pengikut-pengikutnyalah yang membuka kampung di Kulim. Tapak asal rumahnya adalah di perkarangan Mahkamah Kulim sekarang. Pohon beringin yang ada di perkarangan Mahkamah Kulim ditanam olehnya. Apabila Kedah jatuh ke tangan Siam, Raja Kedah berundur ke Kulim dan disembunyikan oleh masyarakat Patani di situ yang di ketuai oleh Wan Arshard.
Semasa saya di rumah Datuk saya di Kulim, Ada sekeping gambar tergantung di ruang tamu. Di dalam gambar itu ada dua orang pemuda berdiri di sebelah kereta antik. Saya bertanya pada nenek saya, siapa mereka dalam gambar itu, nenek saya cakap, yang bersongkok dan terselit bulu ayam ka, bulu burung ka di songkoknya adalah Raja kedah, dan yang seorang lagi adalah datuk saya. Saya berkata cantiknya kereta raja kedah di sebelah itu, Nenek saya tersenyum dan memberitahu kereta itu kereta datuk saya.
Pak Cik saya memberitahu Ayah saya bersekolah di sekolah Orang Putih atau Sekolah English dan beliau berkawan dengan anak-anak raja dan orang-orang kaya. Ayah saya sudah memandu kereta semasa usia belasan tahun lagi semasa sebelum merdeka lagi.
Selepas mendengar cerita dari Pak Cik saya, baru saya tahu kenapa Ayah saya tidak pernah menceritakan sejarah semasa zaman mudanya kerana tidak mahu kami menjadi riak. Beliau dari keturunan yang kaya, selepas berkahwin dengan Emak saya beliau berpindah ke Pulau Pinang oleh kerana emak saya tidak serasi tinggal bersama nenek saya dan ayah saya mula bekerja sebagai Buruh di pelabuhan. Semasa bekerja di pelabuhan, beliau merupakan antara pekerja yang pertama menubuhkan UNION untuk pekerja buruh disitu. Hasilnya, sehingga sekarang emak saya menerima pencen dari syarikat itu yang mana sebelum itu pekerja buruh tidak diberi perlindungan asasi oleh syarikat itu.
Satu peristiwa yang tak akan saya lupai adalah, ada satu ketika, ada seorang Pak Cik datang melawat kami di Sg Pinang, mukanya mirip macam wajah Pak Cik saya di Sedim. setelah memperkenalkan diri barulah saya tahu dia adalah abang ayah saya yang berlainan emak. Setelah berbual-bual dengan Ayah saya dia terus pergi dalam keadaan tergesa-gesa dan itu adalah kali terakhir saya melihatnya. Dia datang bersama-sama dengan anak lelakinya yang mana merupakan sepupu saya. Saya begitu akrab dengan anak lelakinya walaupun kami baru berjumpa sekejap saja dan saya mendapat tahu yang abang ayah saya menetap di Lumut, Perak. Setelah dia pergi saya mendapat tahu dari emak saya, tujuan dia datang melawat adalah untuk bertanya tentang tanah rumah pusaka Datuk saya. Ayah saya memberitahunya tanah itu telah diberikan oleh nenek saya kepada adiknya(Tok Cik saya) dan tanah yang selebihnya(ladang getah yang sedikit saja di belakang rumah datuk) dibiarkan begitu saja tanpa dituntut oleh ayah saya, untuk Mak Cik saya tinggal bersama anak-anaknya. Abang ayah saya itu tidak boleh menuntut tanah itu kerana tanah itu telah diubahkan nama kepada nenek saya oleh datuk saya. Apabila ayah mendapat tahu yang kami tahu mengenai hal tanah yang sedikit itu, beliau begitu tegas dan memberitahu, jangan ada dari hangpa semua pergi ke rumah Mak Cik dan bertanya tengtang tanah itu. Tanah itu biar Mak Cik hangpa duduk sampai anak cucunya. Begitu sekali sayangnya Ayah saya kepada adiknya. Sebelum Ayah saya meninggal, beliau berkali-kali berpesan kepada anak-anaknya, cuma satu yang aku mahu dari hangpa semua, selalu-selalulah pergi jenguk Mak Cik hangpa kat sungai Ular, Kulim.
Selepas ayah saya meninggal barulah saya tahu kenapa Ayah saya berpesan begitu, Tok Cik saya telah menjual tanah tapak rumah kepada orang lain dan di sebab itu, Mak Cik saya dipindahkan ke belakang ladang getah. Tuan punya tanah yang baru itu begitu sombong sekali sehingga tidak mahu membuka jalan untuk Mak Cik saya dan itu merupakan satu-satunya jalan untuk dia berhubung dengan jalan utama di hadapan tapak rumah Datuk saya. Sebelum saya membawa Anak isteri saya ke Sedim saya terlebih dahulu pergi melawat Mak Cik saya di situ. Saya terpaksa meletakkan kereta saya jauh dari situ dan bertanya pada orang kampung di mana Mak Cik saya tinggal. Selepas mendapat tahu Mak cik saya tinggal di dalam ladang getah, di belakang rumah datuk saya, saya dapati satu-satunya jalan kesitu adalah melintasi rumah banglo yang baru di bina itu. Rumah datuk saya telah lama dirobohkan. Apabila menjejak kaki kerumah Mak Cik saya saya begitu terharu sekali melihat kehidupannya selepas bercerai dengan suaminya dan teringat kenapa Ayah saya berpesan begitu. Mak Cik saya meluahkan perasaan rindunya pada saya sehingga dia menangis teresak-esak. Dia menceritakan betapa dia dipinggirkan selepas ayah saya meninggal dan setiap kali dia menyebut nama ayah saya dia akan menangis teresak-esak. Katanya ayah saya adalah seorang abang yang sangat mengambil berat tentang kehidupanya kerana selepas nenek saya meninggal, Mak Cik saya hidup dalam keadaan daif walaupun selepas dia berkahwin. Oleh sebab itulah ayah saya tidak menuntut tanah di belakang itu kerana membiarkan Mak Cik saya menoreh getah untuk menyara makan minumnya sekeluarga.
Selepas pulang dari rumah Mak Cik, saya memberitahu kesusahannya pada Kakak dan Abang saya dan menegur mereka kenapa dah lama tak pergi menjenguk Mak Cik sedangkan itu yang ayah pesan. Selepas itu Abang saya yang pertama dan Kakak saya berserta dengan emak saya pergi menziarahinya pada hari raya yang berikutnya dan berbincang dengan tuan punya banglo untuk membuka jalan untuk kemudahan Mak Cik saya berurusan keluar.
Cak pong ci gulu gulu ci kueh lubang dik pulut inti, seng kai lam lam bere bede.

Tuesday, July 15, 2008

Tok Penang

Saya mempunyai empat adik beradik. Kakak yang sulung, dua orang Abang dan seorang Adik perempuan. Kami lima adik beradik yang mana semuanya telah pun berkahwin dan mempunyai seramai duabelas anak-anak lelaki dan perempuan kesemuanya. Kesemua anak-anak kami hanya mempunyai seorang Tok di sebelah kami iaitu Emak saya yang masih tinggal di rumah lama di Penang. Mereka memanggilnya Tok.
Kami bukanlah dari keluarga yang senang dan kaya memandangkan aruah ayah saya hanyalah bekerja sebagai buruh di sebuah syarikat perkapalan. Emak saya merupakan surirumahtangga sepenuh masa. Selepas aruah ayah saya mendapat kerja di Penang, keluarga saya telah berhijrah dan menetap di situ hingga sekarang. Semasa kami dibesarkan, semua kerja-kerja rumah diuruskan oleh emak saya. Saya masih ingat lagi bagaimana susahnya emak ketika itu. Maklumlah, mana ada blender, mesin basuh baju, vacum dan wang ringgit yang banyak, tetapi semuanya itu dapat diuruskan oleh emak saya secara sempurna. Hanya beliau sahajalah yang merasai semuanya itu memandangkan kami semua masih kecil dibuai alam kanak-kanak. Apabila saya telah berumahtangga dan mempunyai tiga orang anak, barulah saya mengerti bagaimana peritnya emak ketika itu. Kami.. lainlah, semuanya dah moden. Ada blender, ada mesin basuh baju, ada vacum dan wang ringgit. Itupun masih terasa susahnya disebabkan ada penyakit malas.
Antara kami lima adik beradik, yang paling rapat sekali adalah antara saya, abang saya dan adik perempuan saya. Mungkin kerana usia kami yang berdekatan ataupun kami adalah lapis yang terbawah, tetapi apa yang saya ingat adalah kerana dari kecil lagi, apabila emak selesai masak, beliau akan panggil kami bertiga untuk duduk sekali dihadapannya dan emak akan menyuapkan nasi campur kepada kami menggunakan satu pinggan.
Kalau potong kuku pun bertiga juga. Bila telah mencecah usia sembilan tahun, kami mula membantu emak membuat kerja-kerja ringan seperti menyapu sampah, pergi kedai membeli apa yang disuruh emak, membasuh pinggan apabila selesai makan dan lain-lain lagi. Pada masa itu hubungan kami dengan emak cukup rapat sekali. Kadang-kadang saya akan menemaninya di dapur semasa beliau memasak. Banyak cerita yang diceritakan pada saya masa itu. Ada cerita sedih dan ada cerita seronok. Apabila kami dapat membantu Emak membuat kerja-kerja ringan, barulah kami dapat melihat Emak berehat melepaskan penat. Bayangkan, kalau pada masa itu Abang saya Nae telah berusia 13 tahun dan adik saya berusia 7 tahun, maka emak saya berjaya menguruskan rumahtangganya selama 13 tahun tanpa bantuan sesiapa. Sebelum itu zaman kakak saya dan abang saya yang pertama, dimana pada masa itu saya belum dilahirkan lagi dan tak nampak bagaimana emak membesarkan mereka. Kalau campur kedua-dua zaman itu mungkin lebih kurang 23 tahun emak telah bertungkus-lumus membesarkan anak-anaknya.
Semasa saya berusia limabelas tahun satu peristiwa sejarah dalam keluarga kami di mana Emak telah bergelar Tok. Kakak saya yang tinggal bersama kami beberapa tahun kebelakangan, telah dikurniakan cahayamata yang pertama. Bukan main seronoknya Emak ketika itu memandangkan itu adalah cucu sulungnya yang pertama. Ditatangnya bagai minyak yang penuh. Dua tahun kemudian cucu yang kedua. Kakak saya tinggal bersama kami sehingga anak-anaknya berusia lima dan tiga tahun. Selepas itu mereka berpindah ke Kem Sg Besi, Kuala Lumpur. Selang beberapa tahun Abang saya yang pertama pulak mendapat anak lelaki yang pertama dan mereka tinggal bersama dengan Emak saya juga. Ini merupakan cucu lelaki yang pertama buat Emak saya. Aruah ayah saya pulak merasakan seronok memandangkan ini adalah cucu lelakinya yang pertama. Semasa selesai kenduri untuk cucu lelakinya yang pertama ini ayah saya meninggal dunia. Pada masa itu saya berada di Singapore bermain musik. Selepas tamat peperiksaan SPM, saya tidak tinggal di Penang lagi dan tidak tahu bagaimana keadaan Emak ketika itu disamping cucu-cucunya.
Sekarang semua cucu-cucunya telah besar dan cucu yang pertamanya telahpun melahirkan anak yang pertama yangmana merupakan cicit Emak saya yang pertama. Tak tahulah bagaimana perasaan Emak saya melihat zuriatnya satu persatu. Dari anak-anak ke cucu-cucu dan sekarang giliran cicit pulak. Gembira bercampur sedih agaknya. Jasanya pada masa muda dahulu, membesarkan anak-anaknya satu persatu dengan penat lelahnya telah dianugerahkan kepadanya usia yang panjang sehingga dapat melihat cucu dan cicitnya.
Di sini ada saya mengubah sebuah lagu untuk Emak saya yang tersayang,


IBU

IBU...ENGKAULAH...YANG MEMBESARKAN ANAK-ANAK MU
KESABARANMU...MELEBIHI...SEGALA-GALANYA...OH...IBU.

IBU...TANPAMU...MEMBUATKAN KAMI RASA RINDU.
MENGENANGKAN...SEMUA KENANGAN...BERSAMAMU..OH...IBU.

# KADANGKALA... ENGKAU GEMBIRA...DISEBABKAN...SENANG DI HATIMU..
PABILA...ANAK-ANAKMU PATUH PADA KATAMU.
KADANGKALA...ENGKAU MENANGIS...DISEBABKAN...SEBAK DI DADAMU.
PABILA...ANAK-ANAKMU MELUKAI HATIMU...OH..IBU...

## IBU.....IBU....
ANAK-ANAKMU MERINDUIMU
IBU....IBU...
SEMUA DOA KAMI UNTUKMU.

Wednesday, June 11, 2008

Abu Bakar Meriam

Saya memang dibesarkan di Pulau Pinang, tetapi saya dilahirkan di Bakar Kapor, Penaga, daerah Kuala Muda. Di situlah terletaknya Kampung Tok sebelah mak saya. Sebelah ayah pulak di Kulim. Keluarga saya berpindah ke Pulau Pinang semasa saya berumur dalam lingkungan 4-5 tahun. Jadi setiap kali apabila cuti sekolah, emak saya akan membawa kami bercuti di kampongnya di Bakar Kapor. Perjalanannya amat jauh sekali pada masa itu kerana kami menaiki kenderaan awam. Mula-mula naik bas MPPP no 3 atau no 8 sampai ke pelabuhan feri, masa tu tambang 25 sen, lepas tu naik feri, tambang 30 sen dan apabila sampai di Seberang Prai naik bas lagi no 84, tambang 75 sen dan saya masih ingat, nama yang tertera di depan kepala bas iaitu `Kuala Muda`. Perjalanan selama 45 minit sungguh mengasyikkan pada masa itu.
Di sana saya akan diraikan oleh sepupu saya yang bernama Abu Bakar atau dengan panggilan Bakop. Bakop ni merupakan sepupu yang paling rapat sekali dengan kami. Beliau bekerja sebagai seorang nelayan. Setiap kali apabila kami sampai di kampong, kami akan dihiburkan dengan gelak ketawa yang sudah menjadi sebati dengan tingkah lakunya sewaktu itu. Dia suka ketawa. Walaupun Bakop hanyalah seorang nelayan yang tidak berpelajaran(rasanya dia tidak bersekolah kalau ia pun, sekolah rendah pun tak habis)tetapi beliau mempunyai jiwa kekeluargaan yang rapat. Beliau akan membawa kami ke seluruh pelusuk kampong untuk diperkenalkan kepada kawan-kawannya. Bakop sangat berbesar hati bila kami pulang ke kampong. Habis buah kelapa muda akan digugurkan oleh Bakop sekiranya dia tahu kami teringin nak makan kelapa muda. Selalunya kami akan bermalam di kampong selama 2 malam.
Ada satu ketika saya dan abang saya Nae, pergi mengikutinya ke laut untuk melihat bagaimana beliau menangkap hasil laut. Bakop bekerja dengan seorang tauke yang berbangsa cina. Perahunya besar pada masa itu. Ada pondok kecil di tengah-tengah perahu itu. Saya dan Nae cuma duduk di situ memerhati bagaimana dia bekerja. Kami keluar ke laut awal pagi kerana pada masa itu air pasang awal pagi. Perjalanan dari darat ke tengah laut memakan masa selama lebih kurang 30-40 minit. Bila sampai di tempat yang mereka jangka ada hasil, Tekong yang berbangsa cina itu akan memperlahankan bot itu dan Bakop bersama 2 awak lagi(awak adalah pekerja seperti Bakop)akan ditugaskan untuk melabuhkan pukat. Pukat mereka pukat udang. Ada lebih kurang 4 pukat rasanya. Untuk melabuh kesemua pukat memakan masa lebih kurang 2 jam.
Selesai melabuh pukat, kami akan makan sarapan pagi dan bersembang 2-3 jam. Masa itu suasana begitu nyaman. Bot itu akan melenggok mengikut ombak kerana enjin dimatikan. Saya merasa pening sedikit tapi taklah sampai mabuk laut. Cuma jangan pandang di tebing perahu kerana arus air laut bergerak dan perahu diam, pemandangan yang berlawanan itu akan membuatkan kita pening. Jadi pandang di sekeliling dan kawasan atas boleh mengurangkan rasa pening.
OK, selepas berehat, tekong itu akan menghidupkan enjin dan mula pergi mencari pukat kerana selama masa kami berehat bot dan pukat telah dihanyutkan oleh arus laut. Bila bertemu, Bakop dan awak-awak akan menarik pukat sambil mengasingkan hasil tangkapan seperti sudah tentunya banyak udang, ketam dan juga ikan yang sederhana saiznya kerana pukat udang berkotak lubang kecil susunan tangsinya. Mereka cuma mengumpul udang sahaja, kalau ada ketam Bakop akan melontarkan kepada saya dan Nae yang sedang menunggu dengan periuk yang telah dijerang air. Dapat saja ketam, terus masuk kedalam periuk. Masa itu baru saya tahu betapa susahnya Bakop bekerja. Nak tarik pukat bukannya senang, tambahan pulak masa mula-mula nak tarik kerana pukat itu masih panjang berada didalam laut. Tetapi apabila nampak udang Bakop akan ketawa seronok. Masih teringat lagi akan kelakuan Bakop masa itu. Selalunya kalau tangkapan tak begitu memuaskan, mereka akan berpindah ke kawasan lain pula untuk melabuh pukat. Apabila selesai bekerja dan berpuashati dengan hasil tangkapan, mereka pulang. Sampai di darat terus pergi ke rumah tauke cina itu untuk mengira hasil tangkapan. Mula-mula mereka akan mengasingkan saiz udang itu dahulu. Udang yang bersaiz besar harganya lebih mahai lagi. Selepas selesai, tauke itu akan menjumlahkan kepada ringgit. Dapat jumlah ringgit akan dibahagi 5 selepas tolak kos minyak, Tauke mendapat 2 bahagian dan awak-awak mendapat satu bahagian. Biasanya Bakop akan mendapat sekitar RM50 ke RM250 mengikut hasil tangkapan. Ikan-ikan akan dibahagikan untuk dibawa pulang kepada keluarga masing-masing.
Sekiranya kalau kami balik bercuti di kampong, Bakop akan meminta ketam daripada taukenya, dia kata untuk adik beradik makan, ada tetamu kat rumah dan tauke itu pun taklah berkira sangat pada masa itu. Kalau tak pun, mungkin dia beli dengan harga borong. Kadang-kadang sampai satu besen besar ketam di bawanya pulang setiap hari. Kami akan makan sampai mabuk. Sekarang harga ketam berpuluh-puluh ringgit. Tak cukup dengan itu Bakop akan membawa kami pergi ke pekan dan berseronok dengan makan minum.
Di sebelah rumah tok saya ada pondok kecil untuk mengisi padi. Semasa aruah Wan saya masih ada, padi sentiasa penuh di pondok itu untuk di jual dan yang selebihnya untuk makan sendiri. Rasanya memang sedap, apatah lagi bila ditanak dengan api kayu kat dapur belakang rumah. Selepas Wan meninggal, tiada lagi padi. Jelapang padi itu diubahsuai untuk dijadikan tempat melepak. Kami akan bermalam di situ dan kadang-kadang akan buat unggul api untuk merebus ketam atau membakar ayam kampong yang di bela oleh Tok saya. Sungguh seronok pada masa itu.Bakop akan melayan siapa saja yang datang melawatnya ketika itu, tak kiralah dari Pulau Pinang ka, atau dari Kuala Lumpur di mana keluarganya menetap di Kampong Pandan. Saya rasa tiada adik beradik yang lain yang sehebat Bakop dalam meraikan tetamu yang datang ke rumah mereka. Bukan sahaja duit ringgit tetapi tenaganya, masanya dan yang tak dapat saya lupakan adalah gelak tawanya. Saya akan kenang buat selamanya.
Apa yang menyedihkan saya, selepas sahaja Bakop kahwin, isterinya bernama Mariam (orang kampong akan melawak dengannya, `eloklah Abu Bakar Mariam)dan di tambah pulak dengan kematian Tok saya, kehidupan Bakop terumbang-ambing kerana sebelum itu, Tok yang menjaganya dan mengawal perlakuannya. Rumah kampong yang sungguh besar dibuat dari kayu pun dah runtuh dan sungguh jarang sekali adik beradik pergi melawatnya dan bergelak ketawa semacam dahulu kala. Satu kenangan yang melucukan semasa berada dengannya adalah, ada satu ketika semasa kami melepak kat jelapang padi tu, tiba-tiba Tok datang dengan penyapu lidi mengejar Bakop sambil memukulnya kerana Tok sangka Bakop mengajar kami berjudi. Tok mengejarnya keliling kawasan rumah dengan penyapu lidi sambil Bakop pula ketawa kata `tak Tok, tak Tok, kami tak main judi, dan ketawa, ketawa, ketawa, berulang kali walaupun kena pukul dengan Tok. Sesungguhnya, Tok amat menyayangi kami semua sebagai cucunya. Setiap pagi, bila bangun tidor, Tok akan menyediakan nasi lemak bungkus, kueh-mueh dan seteko kopi untuk kami, walau sesibuk mana pun. Bangun tidor mesti ada dan Bakoplah yang akan pergi membelinya. Tak pernah tak ada. Tok sungguh pandai mencari duit. Tok menjadi orang tengah kepada tauke emas untuk di jual kepada orang kampong atau apa sahaja yang boleh dijual seperti kain batik dan lain-lain lagi. Banyak juga harta yang ditinggalkan Tok untuk anak cucunya hidup senang samada barang kemas atau tanah bendang tapi sayang, Bakop masih juga susah hidupnya. Chak pong ci gulu gulu ci kueh lubang dik pulut inti, sengkai lam lam bere bede.

Tuesday, June 03, 2008

Kolam no dua dan kolam no tiga

Saya dibesarkan di Sungai Pinang, Pulau Pinang. Masa saya tengah membesar ada ramai teman-teman yang segagan dengan saya, ada lebih kurang 20-30 kawan-kawan dalam satu kampung. Semuanya ada gelaran masing-masing. Selalunya kami akan reka berbagai-bagai aktiviti untuk mengisi masa lapang bila cuti skolah. Kami akan main bola kat atas jalan tar..macam futsal skarang, main sepak raga, kami akan pi memancing, kami akan berbasikal keliling Pulau, kami akan main acilut lima tapak, main toi, main S, main guli, getah, gasing, tembak dgn dahan pokok sekentut, tembak dgn kacang hijau pakai straw, main mercun dalam bulan puasa dan bermacam-macam lagi. Masa bermain tu seronok bukan main, dengan gelak ketawa dan kekadangnya bergaduh. Cuma satu benda yang kami buat, yang saya rasa paling seronok skali dan selalu terkenang adalah bilamana abang2 yang dah berumur masa tu ajak kami pi blajar berenang kat Kolam no dua atau kolam no tiga kat Taman Belia. Masa tu kalau tak silap saya cuma berumur dalam lingkungan 10-12 tahun. Masih skolah rendah lagi.
Taman Belia merupakan salah satu taman rekreasi untuk penduduk Pulau. Di sana ada kolam-kolam kecil untuk orang ramai beriadah sambil mandi dan berenang. Saya ingat nak pi blajar berenang kat situ la, tapi abang2 ni kata` sini berenang tak best, ramai orang mandi, kolam cetek macamana nak berenang`, kita naik kat atas bukit baru best`. Rupa-rupanya masih ada kolam lagi kat atas bukit tu. Ramai orang tak tau tentang wujudnya kolam yang dibina di atas bukit yang mana airnya bukan air paip tapi air dari sungai kecil yang di salur ke kolam itu dan air hujan la. Dari pinggir bukit kat Taman Belia itu kami mendaki bukit lebih kurang 30-40 minit untuk sampai ke kolam no 2. Ketika mendaki tu kami akan melalui kawasan rumah orang cina yang mengusahakan tanamam sayur. Depa bela anjing untuk mengawal. Bila lalu, kalau nasib tak baik anjing-anjing itu akan mengejar kami. Bayangkan kalau lari naik bukit. Tu yang sampai 30-40 minit. Kalau skarang pi daki mungkin sejam kut. Biasanya kami akan membawa bekalan makanan samada dibungkus dari rumah atau beli kat kedai nasi kandar sebelah Hospital Besar.Pertama kali saya sampai kat kolam no 2, saya begitu terpegun dengan kolamnya. Kolamnya sangat luas, rasanya lebih kurang 30*60 kaki. Dalamnya saya tak tau, sebab tak pernah jejak kaki kat dasarnya selama saya berenang kat situ. Ada sebiji batu bukit yang sangat besar di sebelahnya yang boleh diduduki oleh, lebih kurang 10 orang. Ada banyak batu lagi tapi kecil sedikit. Saya suka duduk kat batu besar ni, pandang kiri nampat hutan dan kolam renang, pandang kanan nampak pemandangan Sebelah Pulau Pinang. Sungguh cantik skali. Ok..cara kami belajar berenang cukup mudah. Tak dak orang ajar. Cuma berani sendiri. Abang2 tu cuma pandang dari atas saja, kalau ada yg tenggelam, depa akan terjun dan selamatkan kami. Tapi selama kami belajar berenang, tak dak sapa pun di kalangan kami yang tenggelam. Caranya,... di sebelah tepi sikit kolam tu, abang2 ni letak sebatang pokok kayu hutan yang di tumbangkan. Tak la besar sangat, cukup untuk kami bergayut. Kami akan masuk ke dalam kolam dengan bergayut kat batang pokok yang direntangkan kat kolam tu. Bila dah ada kat dalam kolam, kami akan lepas tangan dan berenang cara anjing. Istilahnya berenang setempat, cuma belajar cara nak berdiri dalam air, macam anjing berenang. Bila nak tenggelam, cepat2 capai batang pokok yang ada kat atas kepala. Rehat sekejap, pas tu lepas tangan lagi. Kami akan berulang kali buat cara ni sampai betui2 pandai berdiri dalam air. Bila dah pandai sangat, baru abang2 ni bagi lesen untuk berenang keliling kolam dengan diawasi oleh mereka.
Kolam No Tiga, fuh.... lagi cantik. Air nya biru, mungkin dari pantulan kebiruan langit. Kolam nya kecil sedikit dari Kolam No Dua. Pendakiannya lebih kurang 40-50 minit dari Kolam No Dua. Pemandangan dari Kolam No Tiga ni sangat menakjubkan. Dari Kolam No Tiga ni kalau tak silap ada jalan pintas untuk mendaki ke Bukit Bendera. Kolamnya berbentuk bulan sabit sikit. Tak macam Kolam No Dua yang segiempat panjang. Selepas mandi kami akan makan beramai-ramai. Adakalanya abang2 ni bawa ayam atau daging dan kami akan panggang kat situ. Bila dah besar sikit, iaitu semasa sekolah menengah, kami pi sendiri berenang kat situ dan merupakan aktiviti setiap bulan. Naik basikal pi mandi air Kolam No Dua atau Kolam No Tiga adalah sesuatu yang paling seronok selain main musik. Kat Penang ada Chinese Swimming Pool dekat Tanjung Tokong, nak masuk kena bayar mahai juga, tambahan pulak kalau nak blajar berenang. Sebulan baru pandai kut kalau pi blajar seminggu skali. Tapi kami cuma blajar berenang satu hari saja. Pagi masuk kolam, bila tengahari lepas makan dah pandai berenang kerana belajar sendiri, tak dak orang pegang.Cuma bergayut kat dahan pokok saja kalau nak tenggelam. Cumanya, bila setiap kali kami sampai kat kolam tu, masing-masing cuba berlengah-lengah tak mau jadi orang yang pertama terjun dulu sebab takut manala tau ada ular sawa berendam kat dalam kolam tu ka pada sebelah malam hari, kerna kawasan tu memang hutan di sebelahnya. Bila ada orang buat pembukaan terjun, tunggu dulu, lima minit tak dak apa-apa, baru semua lompat dan berenang.Chak pong ci gulu gulu ci kueh lubang dik pulut inti. Sengkailam lam bere bede.

Monday, June 02, 2008

Selamat Pulau Pinang

Sekolah Menengah Abdulah Munsyi, Jalan P. Ramlee. Di situlah sekolah saya. Dari sekolah rendah lagi saya mempunyai ramai teman yang berbagai-bagai bangsa, walaupun sekolah kami majoritinya bangsa melayu. Salah seorangnya yang saya masih ingat lagi ialah Ooi Ah Lan. Dia amat meminati bidang nyanyian. Selalunya setiap hari isnin, sekolah kami akan mengadakan perhimpunan dan semua pelajar dikehendaki menyanyi dua lagu iaitu lagu Negaraku dan lagu Pulau Pinang. Saya memang seronok kalau masa menyanyi tu. Lawan-lawan jerit dengan kawan-kawan. Satu hari isnin secara kebetulan saya berdiri di sebelah Ooi Ah Lan. Masa untuk menyanyi kami dikehendaki berdiri tegak dan tangan mesti dikepitkan di pinggang. Lagu Negaraku berjalan lancar seperti biasa, memandangkan lagu itu lebih kepada patriotik dan meleret, jadi tak berapa syok sangat nak jerit-jerit. Bila tiba lagu Pulau Pinang semua orang naik syeh, memandangkan lagu itu lebih bersemangat dan lebih rancak. Ooi Ah Lan tidak ketinggalan juga, mungkin dia seronok berdiri di sebelah saya yang mana saya memang suka menjerit kuat bila nyanyi lagu Pulau Pinang. Masuk saja intro lagu tu.. Ooi Ah Lan terus bernyanyi dengan kuat dan bersemangat sambil melentuk-lentukkan badannya...Begini nyanyiannya.. `Selamat Tuhan Kurniakan` `Selamat Pilau Pinang`.. saya terus gelak kuat sebab tak tahan bila Ooi Ah Lan tersasul sebut Pilau Pinang yang mana sepatutnya `Pulau Pinang`. Siap lentuk-lentuk badan lagi. Bila saya ketawa, habis semua rakan-rakan di sebelah juga ketawa. Walaubagaimanapun lagu itu selesai juga dinyanyikan oleh semua pelajar dan saya bersama kawan-kawan yang ketawa terpaksa berjumpa dengan guru disiplin selepas perhimpunan.Ooi Ah Lan pun kena jumpa, sebab dia pun ketawa. Apabila saya terangkan pada guru disiplin apa yang terjadi, beliau juga ketawa.
Rasanya lebih seronok lagi kalau ada lebih ramai lagi pelajar dari bangsa lain yang dicampurkan bersama-sama pelajar melayu yang lebih majoritinya di sekolah itu. Kalau lalu kat Sekolah Menengah Cina pula, maka majoritinya Bangsa Cina sahaja yang bersekolah di situ. Begitu juga dengan bangsa India.Chak pong cigulu gulu ci kueh lubang dik pulut inti.. Sengkailam lam bere bede.

JAMBOREE

Setiap kali apabila saya memandang budak-budak sekolah memakai pakaian seragam Pengakap, saya akan tersenyum sendirian mengenangkan kisah yang saya lalui pada hari Pengakap SeMalaysia, yang di beri nama sebagai perhimpunan Jamboree. Ianya diadakan di Pulau Pinang pada tahun 1985 bulan disember dan kalau saya tak silap tempatnya di Kebun Bunga atau Waterfall Garden. Saya ada juga menyertai pasukan pengakap di Sekolah Rendah, dimana bila ada projek memungut derma kami akan keluar berkumpulan untuk memungut derma samada dari rumah ke rumah atau di pekan-pekan kecil untuk memungut derma. Saya masih mengingati di mana saya dan kawan saya, kalau tak silap namanya Ali Korban. Sekarang Ali Korban dah jadi Polis Di Raja. Kami berjalan sejauh lebih kurang 1-2 kilometer sehari untuk memungut derma dari rumah ke rumah. Kami akan menanya pada tuan rumah samada ada atau tidak kerja rumah yang kami boleh tolong dan selepas tolong buat kerja, tuan rumah itu akan memberi upah yang mana upah itu akan dicatitkan sebagai hasil derma. Kebanyakkan tuan rumah tidak memberi apa-apa kerja cuma derma ikhlas saja memandangkan kami dah berpeluh-peluh jalan kaki, tetapi ada satu rumah yang mana bila saja kami tanya samada ada ka tidak kerja rumah untuk kami buat sebagai upah derma, tuan rumah itu yang mana mukanya masih saya ingat lagi, terus tersenyum dan berkata..`hah..elok la hangpa mai tanya kerja hari ni. upah ikhlas kan`. Kami sekadar senyum dan mengangguk ikhlas.`Mai masuk mai.. tengok ni`, kata tuan rumah ni. Bila kami masuk rumah katanya,`hari ni, pekerja Pak Cik tuang tak mai kerja..elok la secara kebetulan hangpa mai tanya pasai kerja`. Kami senyum lagi dan bilamana kami masuk saja kat dalam rumah kami nampak daging sate yang dah siap diperap. Banyak juga. Rupa-rupanya Tuan rumah itu berniaga sate. Dia suruh kami tolong cucuk sate. Rumahnya kat depan Stadium Bandaraya, dimana ada Astaka Selera dimana terdapat deretan gerai makanan kat situ. Pada hari itu kami tak pergi banyak rumah untuk kutip derma kerna banyak masa diluangkan untuk menyucuk sate dan saya banyak bersembang dengan Pak Cik itu selok belok berniaga sate. Seronok juga bila mendengar pendapatan yang sangat lumayan kalau kita berniaga Sate.
Berbalik pada kisah hari Jamboree, dimana Saya, Raja, Ali korban, Mail puyuh dan Jeffri mengikuti Aruah Pak Cik Hamzah untuk berniaga pada temasya hari Jamboree itu. Pak Cik Hamzah adalah Bapak kawan saya, Jeffri. Pak Cik Hamzah adalah seorang yang sangat dedikasi orangnya, dan kalau tak silap, saya pernah membaca artikel dari suratkhabar melayu yang tergantung kat dinding rumahnya, dimana artikel itu mengisahkan cerita Pak Cik Hamzah adalah seorang anak melayu yang pertama menjadi juruterbang yang bertugas dengan..kalau tak silap saya dengan Australlian Royal Airforce kat Seberang Prai. Dia dah lama bersara pada masa itu. Pada temasya Jamboree itu, beliau mendapat tapak untuk berniaga makanan untuk peserta-peserta Jamboree yang pada anggaran saya mencecah seribu peserta kut. Temasya itu berlansung selama lebih kurang dua minggu. Pada masa itu, kami sedang menunggu keputusan peperiksaan SPM. Jadi kami dengan seronoknya bersetuju untuk bekerja dengannya. Tambahan pulak semua yang bekerja tu, kawan-kawan macam adik beradik lagaknya. Jadi selama dua minggu itu kami bekerja dan bermalam di kawasan itu. Kerja memang teruk..dari pukul 6 pagi sampai kadang-kadang 2 pagi. Adakalanya kami tak tidoq kerana seronok melihat aktiviti persembahan dari peserta pengakap dari negeri-negeri kat Malaysia. Setiap negeri akan mengadakan persembahan mereka mengikut jadual. Ada persembahan wayang kulit, Kuda Kepang, nyanyian dan bermacam-macam lagi. Ada juga peserta jemputan dari Sekolah Kedutaan Indonesia yang datang dari Kuala Lumpur. Saya dah lupa apa persembahan mereka tetapi masih ingat akan peserta wanita mereka yang cantik-cantik. Bila tiba masa untuk makan, peserta-peserta ini akan datang menyerbu ke gerai kami dan kami akan melayan depa. Masih teringat lagi kata-kata Arwah Pak Cik Hamzah..`Bagi depa makan..bagi depa makan..kita masak sedap hari ni, bagi depa rrrasa...tengok`. Pak Cik Hamzah kelihatan sangat gembira bila makanan semua habis. Beliau tidak kisah sangat tentang hasil jualan atau pun untung, tapi beliau seronok bila makanan itu habis diberi makan. Setiap hari beliau akan berulang-alik dari rumah(di mana tempat untuk memasak) untuk membawa makanan. Kami cuma masak air saja di situ untuk di buat minuman air panas seperti teh, kopi dan lain-lain. Setiap pagi kami akan mengangkut air mengikut giliran untuk di jerang di buat minuman sarapan pagi. Cuma part tu saja yang tak syok..tapi lama kelamaan dah jadi biasa.
Kami semua gembira bekerja pada masa itu, setiap kali sebelum tidoq kami akan bersembang dan bergurau. Kami cuma tidoq kat atas kerusi kayu panjang sebelah menyebelahi kawan-kawan. Cuma tidoq beberapa jam saja. Kadang-kadang Raja akan bermain guitar sebelum tidoq. Pada dua tiga malam terakhir temasya itu ada peristiwa tak baik berlaku dimana peserta dari negeri Kelantan bergaduh dengan peserta dari negeri Johor. Bila masa persembahan Kuda Kepang, peserta dari Negeri Johor itu keluar dari kepungan dan pi hentam peserta dari Kelantan untuk membalas dendam peristiwa petengkaran pada malam sebelumnya. Buat malu juga pada peserta Indonesia, kerana mereka merupakan jemputan yang pertama kali pada temasya Jamboree. Bila selesai temasya itu Pak Cik Hamzah sangat gembira dengan hasil kutipan yang kami dapat. Beliau memberi upah yang lumayan pada kami semua memandangkan kami sangat rajin bekerja. Selepas itu kalau ada tempahan untuk cateria, beliau akan memanggil kami untuk bekerja dan secara langsung dari situ saya belajaq sedikit sebanyak macamana nak layan orang makan. Ada satu ketika, beliau mendapat tempahan cateria untuk Orang Putih menyambut tahun baru. Ianya di atur buat secara buffet, di mana saya ditugaskan untuk mencedok lauk ayam. Ada seorang orang putih tanya kat saya dalam bahasanya`What is this? Saya jawab perlahan `This is kichen`. Mat Salleh itu renung saya lama juga, nasib baik Raja yang ada kat sebelah saya perasan apa yang berlaku dan mencelah secara spontan dan kuat sikit `Chicken, Sir`, baru Mat Salleh itu senyum, dan menghulurkan pinggannya. Mungkin dia mabuk sikit kut dan pikiaq panjang samada saya cakap salah atau dia dengar salah..bila setiap kali tengok `chicken` lepas tu saya akan senyum sendirian.. Chak pong ci gulu gulu ci kueh lubang dik pulut inti..sengkai lam lam bere bede.

Thursday, May 29, 2008

Pulau Batu Putih

Selamat sejahtera. Baru-baru ini kita telah menerima keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dekat The Hague, Belanda. Keputusan itu memihak kepada Singapura dimana Pulau Batu Putih adalah sebahagian daripada kedaulatan Republik Singapura.
Perkara ini mungkin tak memberi kesan kepada kebanyakkan rakyat malaysia dan juga rakyat Republik Singapura yang membaca berita ini tetapi saya amat berasa prihatin kepada para nelayan kita terutamanya yang berada di kawasan Pengerang yang mana sebelum kes itu di pertikaikan, mereka sudah pun di larang dari menghampiri Pulau itu selama 22 tahun. Keluar keputusan pulak, ianya tak memihak pada Malaysia. Hancur lebur harapan mereka untuk menangkap ikan di kawasan itu. Sejarah menunjukkan mereka ini adalah dari keturunan nelayan yang sudah lama menangkap ikan di situ. Kat situ pulak lubuk ikan.
Persoalannya, tidakkah ada pihak berkuasa samada dari pihak kerajaan Malaysia dan dari ihsan pihak kerajaan Singapura memandang pada masalah mereka ini. Akibat perbalahan merebut kuasa ke atas Pulau itu, nelayan-nelayan menjadi mangsa. Dahla ekonomi merosot, barang makanan mahai,nak tangkap ikan bagi orang ramai makan untuk dijadikan mata pencarian pun jadi hal.
Sepatutnya pihak yang tertentu memandang berat status nelayan ini. Tidakkah ada perbincangan atau rundingan dua hala untuk membantu masalah nelayan kita ini. Kalau nak main musik kami boleh mendapatkan permit, takkan nak tangkap ikan tak boleh dapat permit kut. Singapura dah dapat Pulau tu pun kena terimakasih banyak kat kerajaan Johor, sekurang-kurangnya bagi la Nelayan Pengerang tu tangkap ikan. Chak pong ci gulu-gulu ci kueh lubang dik pulut inti. Sengkai lam lam berebede..